Tuesday 20 July 2010

Kala Cinta & Wahyu Bersatu

        Novel ini merupakan sambungan kepada novel Warkah Cinta Berbau Syurga. Kepada pembaca yang mahu membaca novel ini perlu mendapatkan novel WCBS terlebih dahulu bagi mengetahui jalan cerita yang disampaikan. Novel ini berkisar tentang perjalanan hidup Amir selepas dia pulang ke tanahair bagi menjalani pebedahan untuk merawati penyakit barah otak yang dihidapinya.

        Selepas tamat pengajian di Mesir, Amir pulang ke tanahair untuk menjalani pembedahan merawat penyakit barah otak yang dihidapinya. Pembedahan tersebut berjaya. Ketika dalam proses pemulihan, Amir sentiasa bermuhasabah diri dan merenung tentang kehidupan yang dilaluinya. Dia berusaha untuk bangkit menjadi seorang yang lebih tabah dan lebih bertaqwa. Dia berusaha melupakan kisah percintaannya dengan Wardah.

        Kedatangan Ustaz Hamdi memberikannya semangat untuk berjuang sebagai seorang khalifah di muka bumi ini dan menjelaskan matlamat hidupnya untuk menjadi anak yang taat, ulama yang jujur dan pemimpin yang adil. Ibubapanya mengamanahkannya mencari isteri yang boleh menyayangi dan berbakti kepada mertuanya.

        Amir membuat keputusan untuk menjadi seorang ulama dengan jalan menulis novel Islamik dan menjadi pemimpin dengan bekerja di PPNK selepas dia bermimpi mendapat petunjuk dan mendapat penjelasan dari Ustaz Hamdi.

        Amir dan Balqis saling mencintai tetapi dipendamkan di hati. Mereka bertemu di Mesir bekerjasama dalam bidang penulisan. Terpisahnya mereka kerana keadaan yang memaksa. Mereka berserah kepada Allah atas penentuan jodoh mereka. Andainya jodoh mereka ada, mereka akan bersatu jua. Setelah Balqis kembali ke tanahair, mereka telah diketemukan kembali. Pelbagai rintangan dan dugaan dihadapi.

        Amelia cuba memisahkan mereka, kerana dia amat mencintai Amir. Izzuddin pula muncul dan cuba mendapatkan Balqis. Balqis tidak menerima kerana hatinya telah berpunya. Balqis mengalah membawa diri menyambung belajar kembali ke tanah Mesir. Tetapi takdir Allah menentukan bahawa mereka tetap bersatu. Di bumi Mesir mereka bertemu buat kesekian kalinya dan disatukan.

        Tasnim bertandang mencari Amir beserta dengan amanah dari Wardah untuk menanyakan tetang isi hatinya adakah hadir perasan cinta. Amir mengucapkan bahawa dia sebenarnya mencintai Wardah dengan dibatasi syariah. Tasnim tertawan lalu jatuh cinta dengan pekerti Amir, tetapi sayangnya keluarganya tidak menyukai Amir.

        Melalui novel ini terdapat banyak nilai-nilai tarbiah yang boleh dijadikan sebagai panduan hidup sebagai seorang muslim. Kita perlu bersabar di dalam menghadapi dugaan yang ditakdirkan untuk kita. Semakin banyak dugaan yang dihadapi dengan kesabaran, semakin besar ganjaran pahala yang diberikan. Pintalah apa yang dikehendaki kepada Yang Maha Pencipta dan bertawakkallah kepada-Nya.

        Berusahalah bersungguh-sungguh dalam setiap amalan dan pekerjaan kita dan janganlah mudah berputus asa. Sebelum membuat sesuatu pilihan, mintalah petunjuk dengan beristiqarah terlebih dahulu. Berziarah merupakan suatu rezeki dari Allah. Amal yang baik adalah solat di awal waktu, berjihad di jalan Allah, berbakti kepada kedua ibubapa dan berdakwah untuk menyeru ke jalan Allah.

        Novel ini berkesudahan dalam suasana gembira. Semua watak menemui pasangan masing-masing yang telah ditentukan buat mereka, walaupun pelbagai masalah perlu dihadapi.

        Pada penilaian saya, novel ini mempunyai jalan cerita yang indah dan menarik. Cara penyampaian yang bersahaja. Penulis dapat menggambarkan personaliti watak dengan baik sehingga pembaca boleh membayangkan keadaan watak.

        Watak antagonis yang diketengahkan tidak cukup kuat dan kurang berkesan. Penulis perlu menghasilkan watak antagonis yang lebih kuat supaya seimbang dengan watak hero yang diciptakan supaya kesan yang terhasil lebih hebat.

Puisi Kala Cinta & Wahyu Bersatu


Mereka berdua saling mencinta
Tiada terucap terpendam di jiwa
Walau dugaan datang melanda
Hati tetap tabah dan redha

Menghadapi segala rintangan yang menjelma
Kepada Allah diserah segala
Andainya jodoh ketemu jua
Itulah suratan Yang Maha Kuasa

Amelia pula datang bercanda
Mengharap kasih dari jejaka
Semoga hatinya belum berpunya
Apakan daya tiada balasnya

Izzuddin juga mencuba nasibnya
Menggoda Balqis melalui abangnya
Akhirnya terbongkar jua rahsia
Ada maksud tertentu rupanya

Datang bertandang mencari diri
Dari sahabat amanah diberi
Untuk bertanya rahsia tersembunyi
Adakah sekelumit cinta di hati

Amir menyatakan isi hati
Mencintai Wardah tidak terperi
Sehingga tidak tertanggung merana diri
Mencari penawar pengubat hati

Sebuah cinta yang amat suci
Akhirnya ketemu cinta Ilahi
Dia tertawan budi pekerti
Indahnya tiada cela lagi

Hati berbunga menguntum cinta
Diundang bertandang bertemu keluarga
Sayangnya tiada restu lalu kecewa
Merana diri membawa lara

Ini Merupakan puisi yang ku nukilkan selepas selesai membaca novel Kala Cinta & Wahyu Bersatu.

Novel ini merupakan sebuah hasil karangan oleh Ustaz Ahmad Ubaidillah Bin Alias.

Novel ini merupakan sambungan kepada novel Warkah Cinta Berbau Syurga.

Sunday 18 July 2010

Warkah Cinta Berbau Syurga


    Novel ini merupakan sebuah kisah mengenai percintaan di antara seorang remaja lelaki dengan seorang remaja perempuan yang berlandaskan batas-batas syariat Islam. Watak utamanya, Amir Mukhlis merupakan satu watak yang kuat. Dia mempunyai sifat negatif dan positif. Dia merupakan seorang yang mempunyai sifat yang agak pesimis dan kurang mempunyai keyakinan diri, berhati lembut dan terlalu merendah diri. Namun begitu dia merupakan seorang yang kreatif, berhati-hati, tidak memungkiri janji dan sentiasa berfikir terlebih dahulu kesan dan akibat apabila berbicara atau ketika mahu melakukan sesuatu perkara. Amir merupakan seorang pelajar Mahaad Tahfiz. Dia seorang yang sentiasa berpegang kepada prinsip hidup sebagai seorang pelajar Islam yang menghafaz Qur'an.

        Wardah seorang gadis yang pintar dan menjadi tumpuan ramai. Dia merupakan seorang pelajar sekolah menengah agama yang amat mengagumi karya-karya nukilan Amir. Mereka dipertemukan dalam satu sidang redaksi antara sekolah mereka. Dengan pertemuan tersebut, maka terjalinlah suatu perhubungan di antara mereka yang telah ditakdirkan buat mereka berdua. Berbagai-bagai konflik yang hadir dalam perhubungan mereka. Amir mempunyai prinsip hidup dengan berpegang kepada landasan dan batas-batas agama dalam menjalin hubungan dan menyerahkan segalanya kepada ketentuan Ilahi sekiranya ada jodoh di antara mereka. Sedangkan Wardah memerlukan satu ikatan yang pasti dalam perhubungan mereka.

        Wardah sentiasa menagih kata-kata janji yang pasti dari Amir untuk menguatkan pegangannya tentang hubungan di antara mereka. Amir pula tetap dengan pendiriannya dalam menjaga batas-batas perhubungan yang berlandaskan prinsipnya dan Syariah. Amir menyerahkan segalanya kepada ketentuan Ilahi. Perhubungan mereka terputus ketika Amir hendak melanjutkan pelajarannya ke Mesir. Walaupun hatinya amat menyayangi dan mencintai Wardah, Amir tetap tidak mengungkapkan kata-kata cinta kepada Wardah. Dia tetap berpegang dengan prinsipnya mencintai kerana Allah, bertemu kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya. Dia berserah sepenuhnya kepada ketentuan Ilahi tentang perhubungan mereka. Dia lebih rela dituduh ego dari berjanji tentang perkara yang tidak pasti. Ketika terpisah, Amir dan Wardah sama-sama memendam perasaan rindu. Mereka melepaskan perasaan rindu dengan membaca warkah-warkah yang pernah diutuskan.

        Wardah menghadapi dugaan yang getir di mana dia sentiasa didatangi lelaki yang cuba memikatnya di universiti tempat dia belajar tetapi disisihkan semuanya. Semua yang datang ditolaknya sehinggalah pada suatu hari bapanya telah memperkenalkan kepada seorang lelaki sebagai bakal suaminya. Keputusan bapanya hendak menjodohkannya dengan lelaki tersebut telah menyentap segala semangatnya. Dia terpaksa menerima keputusan yang ditetapkan oleh bapanya itu dengan hati yang terluka. Amir menerima berita tentang Wardah itu dengan perasan yang terluka, tetapi dia redha dengan ketentuan Ilahi. Dia mengutuskan bicara untuk menenangkan hati Wardah supaya redha dengan takdir Allah. Wardah akur setelah menerima perutusan dari Amir yang masih utuh dengan pendiriannya. Amir dan Wardah masing-masing tetap saling mencintai walaupun mereka tak mungkin dapat disatukan lagi. Wardah menderita dengan perkahwinannya kerana suaminya seorang yang tidak bertanggungjawab. Akhirnya Wardah sakit sehingga meninggal. Berita kematian Wardah terlalu memeritkan hati Amir tetapi dia mencuba menerima suratan takdir dan berusaha melupakan Wardah.

        Setelah pemergian Wardah, hadir pula Balqis menggamit hati Amir. Balqis dan Amir selalu bertemu secara kebetulan. Pertemuan pertama mereka, Amir terlanggar Balqis secara tidak sengaja yang mengakibatkan Balqis tercedera di tapak tangan. Amir memberikan saputangannya untuk membersihkan luka di tangan Balqis. Balqis pergi secara tergesa-gesa dengan perasaan malu dan mereka tidak sempat berkenalan. Mereka bertemu buat kali kedua di Mesir, di mana mereka belajar di universiti yang sama. Amir berada pada tahun akhir dan Balqis pula baru tiba. Pada mulanya Balqis meminati karya tulisan Qalam Hazin yang kemudian diketahui nama sebenarnya Amir Mukhlis. Kemudian terjadi beberapa kemalangan ke atas Balqis dan secara kebetulan pula Amir yang menjadi penyelamatnya. Balqis menjadi tumpuan lelaki yang merupakan teman-teman Amir. Amir cuba menghindari dari membuat hubungan yang melibatkan perasaan dengan Balqis kerana tidak mahu melukakan perasaan sesiapa. Tetapi takdir telah menetapkan bahawa Balqis mencintai Amir. Amir terus cuba mengelak setelah dia mengetahui dia menghidapi penyakit barah otak. Setelah tamat peperiksaan tahun terakhir, Amir terus pulang ke tanahair setelah memohon maaf kepada teman-temannya dan menitipkan surat buat Balqis supaya jangan mengharapkan dirinya dengan menerangkan keadaan kesihatannya.

        Konflik-konflik yang terhasil amat baik dan bersahaja. Ia sesuai dan seiring dengan sifat-sifat watak yang dicipta. Plot-plot diadun dengan baik dan diolah seperti watak itu hidup dan bercerita. Ketika saya membaca novel ini, terasa seperti membaca sebuah kisah kehidupan yang sebenar. Ia seperti sebuah perjalanan hidup yang dilalui oleh penulis sendiri. Watak-watak yang ada seperti wujud di alam yang nyata ini. Ceritanya begitu mengesankan. Ia begitu menyentuh jiwa saya ketika membacanya. Saya seperti dapat merasakan keperitan serta penderitaan yang dialami serta dirasai oleh watak-watak. Adakalanya saya mengalirkan airmata ketika menghayati penderitaan watak. Ketika saya membaca bahagian-bahagian yang terakhir, ketika Amir didapati mengidap penyakit barah otak, hati saya tersentap dan berdebar-debar. Babak ini telah mengingatkan saya tentang diri saya sendiri. Saya sendiri pernah mengalami detik-detik yang dihadapi oleh Amir. Saya terbayangkan bagaimana keadaan dan perasaan saya ketika menghadapi kesakitan ketika penyakit yang dihidapi datang menyerang. Adakalanya saya sukar untuk bernafas. Adakalanya saya rasa seperti nyawa saya telah berada di penghujung. Ketabahan Amir membuat saya mengimbas kembali akan ketabahan yang perlu saya hadapi untuk melawan penyakit yang dihidapi.

        Di dalam novel ini banyak pengajaran yang boleh didapati. Terdapat ilmu-ilmu tentang agama Islam dan kehidupan yang disisipkan. Petikan-petikan dari Al-Qur'an dan Hadith juga ada disertakan sebagai penguat hujah dan nasihat. Pembaca dapat menimba ilmu di samping berhibur dengan cerita yang dipersembahkan. Terdapat banyak tarbiah yang boleh diambil dan dijadikan panduan. Janganlah menjadi seorang yang bersifat pesimis yang terlalu memandang rendah terhadap kemampuan diri sendiri. Kita perlu mempunyai keyakinan diri serta keberanian untuk mencuba sesuatu yang baru walaupun terpaksa menanggung risiko. Janganlah memandang rendah terhadap orang lain kerana setiap manusia mempunyai kelebihan yang tersendiri. Jangan suka mempermainkan insan lain kerana setiap insan mempunyai perasaan yang boleh terluka oleh perbuatan kita. Kita perlu menjaga lisan dan berfikirlah terlebih dahulu sebelum berbicara. Perhubungan di antara lelaki dan wanita terdapat batas-batas yang perlu dijaga. Jagalah perhubungan sesama insan berlandaskan syariat Islam mengikut batas-batas yang digariskan Al-Qur'an dan Sunah. Untuk memilih pasangan hidup, terdapat ciri-ciri yang perlu dinilai. Carilah wanita yang diasuh dan dibesarkan dengan agama, yang rajin bekerja dan kurang berbicara. Janganlah hendaknya mengahwini wanita kerana kecantikan, nescaya diharamkan ke atasnya harta dan kecantikannya. Orang yang banyak bercakap akan banyak membuat dosa. Sebaik-baik amalan ialah yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang beramal dan tekun dengan amalannya.

        Terdapat beberapa kesalahan dalam penggunaan imbuhan dalam penggunaan ayat dan tanda bacaan juga, yang sepatutnya tidak berlaku di dalam penulisan ini. Penyunting perlu lebih berhati-hati dalam membuat suntingan. Susunan ayat juga perlu sesuai. Ketika babak Amir menghidapi penyakit barah otak itu sepatutnya perlu diperincikan lagi. Penulis sepatutnya menceritakan keadaan dan perasaan Amir apabila menerima keterangan doktor tentang penyakit yang dihidapinya. Bagaimana dia menghadapi keadaan penyakit yang semakin hari semakin parah. Keadaan fizikalnya yang semakin lemah dan tidak bertenaga. Dilema yang dihadapi dalam membuat keputusan. Sepatutnya babak ini menjadi klimaks yang lebih membawa pembaca untuk menghayati penderitaan watak Amir tersebut. Bagi pembaca yang pernah mengalami situasi begini mereka dapat membayangkan keadaan Amir itu. Tetapi bagi pembaca yang tidak pernah menghadapi situasi tersebut, mereka tidak dapat merasai penderitaan yang sebenar. Begitu juga dengan babak penderitaan Wardah juga perlu diperincikan.